Kita sering diselimuti dengan berbagai madah alunan Selawat. Bahkan diri kita sendiri selalu mengungkapkan jambakan cinta kita kepada nabi Muhammad saw. dengan selawat-selawat itu.
Kita juga sering diharungi dengan ucapan-ucapan rindu pada Rasulullah saw dari seseorang. Kerinduan dan perasaan cinta tersebut sering dipaparkan di dada Syair, lagu, sajak, puisi dan pantun seloka. Kerap pula di buat dalam drama Tv dan radio, dibubuh dalam majalah, dibalik perisian novel, di lembah cerpen, di medan surat khabar dan di persada internet.
Beraneka perisa penzahiran rasa dikumandangkan. Bagai dek mahu pula jika didengar sejuta insan, bahkan juga segenap makhluk didunia ini bahawa:
“Aku dan kami cinta Rasulullah saw”
Tika itulah kita akan merasa berjuta-juta rahmat meliputi bahkan melimpahi segenap ruang kehidupan materi dan misteri, zahir dan batin, rohani jasmani, awal dan akhir, akal dan nafsu semua terpeluk erat dalam liputan kasih dan rahmat Ilahi.
Bukankah dari dulu hingga kini, sejak Nabi junjungan mempersabdakannya dan amat sering pula diperkatakan oleh setiap ulama pewaris zaman bahawa sekali kita bersalawat maka dibalas ganjaran pula oleh Allah dengan 10 selawat!
Bukankah pula satu selawat itu nilaiannya bak segenap alam semesta?
Subhanallah!
Bila kita berselawat kita dibalas pula dengan ganjaran 10 kali besar alam semesta!
Tidak menangiskah tuan, puan, saudara, saudari dan adik-adik dengan ganjaran sebesar ini?
Darimanakah lahirnya pahala 1 alam semesta itu mendatang?. Ustaz ini buat-buat cerita ke? Ustaz buat-buat lawak ke? Kami belum pernah dengar ustaz-ustaz lain kata macam tu. Ustaz ini dari mazhab mana? Dari wahabi ke? Syiah ke? Atau yang lain-lain?
Astaghfirullah al-Adzim - Astaghfirullah al-Adzim - Astaghfirullah al-Adzim
Buat apalah penulis mahu berlawak dengan perkara seperti ini. Adakah dengan Allah dan Rasulnya patut kita lawakkan? Adakah kerana tiada ustaz-ustaz lain yang pernah mengatakan seperti itu, penulis tidak boleh menyatakannya? Adakah kenyataan yang penulis sebutkan perlu lagi penulis berikan buktinya dari Al-Qur’an dan Sunnah, sedangkan dalam selawat tersebut sudah jelas dan terang benderang lagi cemerlang bergemerlapan madah Tuhan menyebutkan pahala selawat yang sedia terhampar dibentang.
Tidak nampakkah kita perkataan fil 3alamin dalam selawat tersebut?, Apakah maksud dan rahsia perkataan fil 3alamin dimasukkan dalam selawat itu?.
Perkataan selawat ini diberikan terus oleh Nabi Muhammad saw melalui sabda baginda dalam menerangkan bagaimana cara berselawat pada baginda.
Sahabat-sahabat Nabi bertanya kepada baginda bagaimanakah cara kami berselawat kepadamu Ya Rasulullah.
Nabi Muhammad saw bersabda:
Ucapkanlah:
اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم
وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم فى العالمين إنك حميد مجيد
Ya Allah berikanlah limpah rahmatMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana dikau limpahkan rahmatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim
Dan berikanlah limpah keberkatanMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Dikau limpahkan berkatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim, Di dalam alam semesta ini, sesungguhnya dikau Maha Terpuji Lagi Maha Mulia.
Perkataan Fil 3alamin pula disebut dalam al-Qur’an selepas selawat pada Nabi Nuh a.s.
Silalah lihat firman Allah dalam Surah As Saafat ayat 79:
سلام على نوح فى العالمين
Salam Sejahtera keatas Nuh di dalam Alam Semesta
Bila kita membaca dan merenung kesan dan fadhilat selawat kepada Nabi Muhammad saw semata-mata, namun tanpa kita merujuk kepada sumber-sumber Ilmiah lain, terutama rujukan pada al-Qur’an, tentunya kita mungkin menyangka bahawa perkataan fil 3alamin dalam selawat Ibrahimiah tersebut hanya bererti atau bermakna atau menunjuk kepada keluarga Nabi Muhammad saw dan Nabi Ibrahim yang berada di alam ini.
Namun bukankah madah tersebut sudah padat dan penuh mencakupi dengan menyebutkan lafaz fi Dunia sahaja semata-mata?
Apakah alasannya perkataan berganda yang jauh ertinya dan teramat melampau-lampau pula maksudnya digunakan bagai menunjuk arah dan merumuskan semua keluarga dan keturunan kedua-dua Nabi yang Ulul Azmi itu, Iaitu Nabi Muhammad saw dan Nabi Ibrahim a.s.?
Adakah perkataan itu menunjukkan bahawa di antara keluarga baginda ada yang mungkin akan lahir di planet marikh dan sebagainya.?
Ataukah ertinya berupa dan bermaksud hanya untuk menyatakan bahawa mereka itu adalah sama seperti makhluk lain yang ada di alam semesta ini?
Kesedaran mengenai bertapa besarnya gelombang dan kesan gagasan makna kata fil ‘3alamin boleh kita rasakan dalam alfaz al-Qur’an yang menyebutkan salam semesta alam kepada Ulul Azmi yang terpanjang usianya. Iaitu Nabi Nuh a.s.
Kerana dalam salam kepada baginda itu tidak disebut pula keluarga baginda. Hanya yang disebut ialah fil 3alamin semata-mata.
Tuan puan saudara saudari, bahkan juga adik adik. Kita juga sering dilanda dengan madah selawat yang dipertikaikan sesetengah pihak, kita juga sering bergelimang dengan lafaz-lafaz tasbih berganda hasil turunan dari Sabda Nabi Muhammad saw sendiri. Madah Puisi Selawat dan tasbih itu dilengkapkan dengan penghujung:-
سبحان الله وبحمده عدد خلقه ورضى نفسه وزنه عرشه ومداد كلماته
Jika tuan bandingkan dan cernakan, bahkan memesrakan dan sebatikan pula semua alfaz itu di dalam satu acuan timbangan pemikiran, maka tuan akan mendapati bahawa lafaz selawat Ibrahimiah adalah suatu lafaz selawat yang amat jauh dan terlalu tinggi nilainya ganjarannya jika kita bandingkan dengan jumlah dan lama perkataan itu kita luahkan dari kedua pasang bibir dan selaras lidah kita.
Jikalau kita menyatakan alfaz tersebut sekali, Allah swt akan balas dengan 10 kali.
Lalu setiap selawat yang kita pohonkan dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta digauli perisa takut kalau-kalau selawat kita dilemparkan semula kemuka kita yang …….. Ini , yang menandakan kita adalah …………..., Wa iya dzubillah min dzalik.
Di samping memenuhi hati kita dengan perasaan berharap dengan harapan yang setinggi-tingginya, mudah-mudahan Nabi Muhammad saw diangkat oleh Allah swt setinggi-tingginya, dijunjung dengan penghormatan yang termulia di akhirat nanti.
Lalu kita pohonkan agar setiap selawat itu dapat digandakan untuk Nabi Muhammad saw seluas dan banyaknya bilangan apa-apapun makhluk Allah yang ada di alam semesta, seberat apa-apapun makhluk Allah yang ada di alam semesta, seluas apa-apapun makhluk Allah yang ada di alam semesta, setinggi apa-apapun makhluk Allah di alam semesta ini.
Jika dimakbulkan doa selawat itu, maka tinggilah kurnia Allah swt untuk Nabi Muhammad saw. Maka tinggilah darjat Nabi Muhammad saw apabila baginda berada di akhirat kelak dengan berkat selawat para ummat baginda Dan Kurnia Allah swt jua pada baginda.
Namun apakah masuk akal pemikiran kita kiranya selawat yang amat pendek itu sudah cukup untuk memberikan kita pula ganjaran 10 kali ganda dari banyaknya ganjaran selawat yang diterima oleh Nabi kita setiap kali kita berselawat kepada baginda? Adakah masuk akal kita yang amat ……..… ini (wa iya dzu billahi min dzalik) untuk menerima ganjaran 10 kali ganda pahala sebesar 1 alam semesta setiap satu.
Berapa besarkah Alam semesta? Allahu ‘3lam, jawapannya hanya Allah swt yang lebih tahu. Namun bila kita lihat ke langit, kita tahu bahawa langit itu hanyalah langit pertama.
Dalam surah al-Mulk Allah swt berfirman:
ولقد زينا السماء الدنيا بمصابيح
Dan telah kami hiasi langit dunia itu dengan lampu-lampu ( bintang-bintang, matahari dan bulan)
Perkataan Masabih bukan hanya terhad kepada 2 lampu, tetapi banyak. Bahkan planet-planet yang berhampiran dengan bumi (di sistem suria) sekalipun amat jarang berlegaran memenuhi malam di angkasa raya kita. Oleh itu tafsiran langit dunia itu sendiri adalah merupakan seluruh lampu-lampu yang ada di langit itu.
Maka langit dunia itu sendiri sudah amat besar untuk kita nilaikan, apatah lagi dengan makna yang jauh lebih bergaya dari itu, iaitu dengan dimasukkan pula maksud dan makna bagi ke tujuh-tujuh langit yang ada di alam semesta ini dalam satu selawat.
Bukankah Matahari itu beribu kali ganda besarnya daripada bumi? Bukankah bintang-bintang yang ada di langit itu beratus-ratus kali ganda besarnya dari matahari?
Hari pertama penulis membaca mengenai besar dan luasnya matahari berbanding bumi. Dan bagaimana pula besarnya bintang-bintang itu dari matahari, dada penulis berdebar-debar sebak hingga sukar untuk bernafas. Terkejut dan takjub melihat kebesaran penciptanya.
Di dada blog ini pula, penulis telah mensisipkan keta3ajjuban penulis itu dengan menyumbangkan tayangan video animasi, khusus menunjukkan mengenai besar dan luasnya bintang-bintang di angkasa raya itu berbanding dengan bumi.
Bahkan itupun hanya baru sedikit dari ciptaan Allah swt. Bayangkanlah pula betapa besarnya ruang lingkup yang meliputi bintang-bintang tersebut. Ya Allah! Betapa besarnya dan agungnya ZatMu ya Allah!
Kini kita dinyatakan pula dengan pahala yang jauh dan berjuta kali ganda lebih besar daripada langit yang kita nampak itu.
Sebak, terharu dan mengalir airmata penulis dibuatnya.
Masya Allah! Subhanallah! Wal-Hamdulillah! Allahu Akbar!
Tuan, puan, saudara, saudari bagaimana?
Tuan, puan, saudara dan saudari, penulis tidak memaksa tuan untuk percaya perkhabaran ini, namun jika tuan mencintai Nabi Muhammad saw, maka Nabi Muhammad saw jugalah yang akan beruntung dengan lafaz yang tuan fahami sedemikian rupa. Malah tuan jugalah yang akan beruntung dengan ganjaran yang 10 kali ganda pula dari itu?
Bukankah suatu lafaz yang tuan fahami ertinya jauh lebih berkesan dari lafaz yang tuan tidak fahami? Jika seekor burung kakak tua mengucapkan selamat pagi pada tuan ketika mendekatinya, maka tuan kata ia tentu tidak memahami apa yang dinyatakannya itu, lalu tuan hanya tersenyum sahaja mendengarnya, namun bila seorang manusia yangmengatakannya, maka terpaksalah kita menjawab dan membalas ucapan yang serupa, selamat pagi!.
Bukankah sebutan suatu lafaz terhadap air akan menjadikan air tersebut membuat suatu reaksi mengikut fahaman lafaz yang dikatakan seseorang itu. Seperti mana eksperimen Dr. Masaru Emoto.
Justeru kalau kita melafazkan sesuatu dan kita faham dan percaya bahawa lafaz yang kita sebut itu mempunyai gelombang yang setinggi dan seluas alam semesta, makanya begitulah ketika kita melafazkan madah pujangga Selawat yang tertinggi itu kepada Nabi Muhammad saw.
Bersambung Insya Allah.
Mana-mana yang baik daripada Allah swt dan mana-mana yang kurang baik, tersilap bahasa, ejaan dan sebagainya adalah dari penulis jua. Penulis memohon ampun dan maaf daripada Allah untuk penulis dan pembaca, keluarga penulis dan seluruh Umat Islam hingga hari kiamat.
Wassalam.
Komen tuan, puan, saudara, saudari yang hebat dan ada ummmph! dalam ruangan ini insya Allah akan menaikkan trafik pada laman tuan, puan, saudara, saudari lebih-lebih lagi jika ditambah alamat web tuan, puan, saudara, saudari sekali.
Saya telah mencubanya dan al-Hamdulillah bila saya membuat komen yang baik, berduyun-duyun traffic masuk kedalam web saya. Selamat mencuba.













No comments:
Post a Comment