Khusyuk Dalam Solat Jauh Lebih Hebat Dari Makan Kek Yang Paling Sedap di Dunia
Penulis dua tiga hari lepas bertanya kepada isteri penulis, adakah ia pernah merasa sedap dan nyaman dalam solatnya, dalam zikirnya atau dalam bacaan al-Qur’annya.
Katanya pernah: Katanya baru semalam ia menangis bila mendengar lagu nasyid “Panggilan haji”.
Kata penulis: Ia bukan seperti itu. Ayang menangis itu hanya kerana ayang rindu untuk ke Mekah.
Tapi khusuk dalam solat adalah jauh lebih baik dari itu. Ianya jauh lebih baik dari merasa kek yang paling sedap di dunia. Jauh lebih nyaman dari apa-apapun yang ayang rasa di dunia ini.
Isteri penulis memang rajin mengadun kek Lapis. Setiap kek yang diadunnya sedap-sedap belaka. Suatu hari pernah penulis rasa kek yang diadunnya amat sedap sehingga tidak terkira rasanya.
Setelah membaca Basmalah, apabila saja kek tersebut menyentuh ke lidah penulis, penulis hilang kawalan diri. Rasa sedap kek lapis itu masuk kesekujur jasad penulis, sehinggakan badan penulis terangkat dibuatnya. Sungguh hebat rasa keknya itu.
Kepada Isteri yang tercinta penulis ucapkan tahniah dan terima kasih. Al-Hamdulillah.
Tetapi kata penulis, jika seseorang itu khusuk dalam solat maka rasanya akan lebih hebat dari itu. Kerana itulah Nabi Muhammad saw. tidak terasa letih bila ia berdiri lama, tidak terasa mengantuk dan tidak terasa bosan.
Sebab itulah juga Saidina Ali tidak terasa sakit bila pedang dicabut dari pahanya ketika ia solat.
Khusuk Dalam Solat adalah seperti melihat Allah swt. Tahukah ayang bagaimana rasanya bila melihat Allah swt?
Untuk mengetahui rasa bagaimana melihat Allah swt. Seseorang itu kena tahu dan amalkan penjagaan solatnya setiap waktu dan solat setiap tengah malam.
Kemudian ia juga perlu tahu bagaimana sukarnya untuk menjaga waktu solat dan menjaga solat tengah malam itu.
Untuk menjaga solat 5 kali sehari dan menjaga solat tengah malam bukan senang. Setiap orang perlu ikhlas, hati perlu bersih dari sikap tamak kepada dunia. Perlu berusaha mengelakkan sebarang perkara mungkar dan banyak beramal sunat terlebih dulu, perlu banyak zikir dan istighfar, rajin puasa sunat, membaca al-Qur’an selalu dan lain-lain. Zikir dan istighfar itu pula perlu sepenuh hati. Hati tidak boleh lalai semasa berzikir dan semasa beristighfar itu. Semasa beristghfar hendaklah dengan perasaan menyesal dan sedih. Semasa berzikir hendaklah mengingatkan keagungan Allah swt.
Jika ia sudah dapat menjaga diri dari sebarang kemungkaran, membersihkan hati dari tamak kepada dunia dan banyak mengamalkan amalan sunat, seperti solat-solat sunat, bersedekah, puasa, membaca al-Qur’an, beristighfar dan berzikir, maka barulah ia akan dapat menjaga solat tengah malamnya.
Jika ia dapat menjaga solat tengah malamnya itu dan kemudian ia merendah diri dan tawaduk kepada Allah swt dan merasakan bahawa apa yang dibuatnya itu bukanlah daripada dirinya sendiri tetapi kerana kurniaan Allah swt jua. Kemudian ia masih rasa takut jika ia akan dicampakkan balik ke jalan yang tidak di redhai oleh Allah swt dan ia juga berharap agar Allah swt sentiasa menetapkan Imannya itu.
Lalu dihadirkannya dalam hatinya bahawa Allah swt itu seperti berada di hadapannya, maka inysa Allah swt ia akan benar-benar khusuk.
Sebelum itu seseorang itu hendaklah tahu bagaimana keagungan Allah swt itu. Manusia adalah terlalu kerdil dan lemah jika dibandingkan dengan mahkluk Allah yang lain. Bahkan jika di bandingkan dengan syaitanpun Manusia amat lemah. Kerana itu kita perlu memohon penjagaan dan perlindungan pada Allah swt daripada godaan dan gangguan Syaitan setiap masa.
Maka apatah lagi jika di bandingkan dengan Kuasa Allah swt. Jika di lihat dalam seluruh atlas langit, bumi yang luas terbentang ini tidak akan kelihatan. Itulah kuasa Allah yang maha Besar.
Kemudian kita perlu tahu bahawa melihat Allah swt itu juga adalah suatu anugerah yang paling Istimewa. Bahkan ianya merupakan suatu hadiah dan saat yang amat ditunggu-tunggu dan diidam-idamkan oleh setiap insan yang beriman. Ianya merupakan kurnia Allah swt yang paling agung di syurga. Mudah-mudahan kita juga akan merasakan seperti ini. (Nabi Muhammad saw menyuruh kita untuk mengamalkan doa ini. Ya Allah kurniakanlah kepadaku agar aku merindui untuk melihat wajahmu di syurga)
Namun, Perkara ajaib dan istimewa itu terjadi dan berlaku juga kepada orang-orang yang beriman ketika solat mereka. Mereka dikurniakan oleh Allah swt solat 5 kali sehari semalam untuk berjumpa dan membayangkan seperti berjumpa dengan Allah swt.
Dalam hadis Nabi Muhammad saw menyatakan agar kita beribadat seperti melihat Allah swt:
أن تعبد الله كأنك تراه
Hendaklah kamu menyembah Allah itu seperti kamu melihatnya.
Sedangkan melihat Allah swt ini sebenarnya adalah satu anugerah yang tertinggi bahkan paling tinggi di syurga.
Untuk mendapat rasa kerinduan untuk melihat wajah Allah swt di syurga itu, kita hendaklah sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh selain sentiasa berdoa seperti yang diajarkan oleh Nabi saw. itu.
Oleh itu apabila kita dapat merasakan rindu untuk melihat Allah itu, maka tanamkanlah di dalam hati bahawa kita juga telah mendapatkan sebahagian darinya semasa kita sedang solat.
Kerana di dalam solat, kita adalah umpama melihat Allah atau sekurang-kurangnya seperti kita berada di satu kamar yang amat istimewa di syurga setelah dibawa masuk dengan hormat oleh Malaikat ke dalam kamar yang amat istimewa itu bagi menunggu waktu yang paling indah dan paling diidam-idamkan bahkan oleh semua nabi-nabi dan mungkin termasuk Nabi Muhammad saw sendiri untuk melihat Allah swt.
Dalam surah al-A’raf ayat 143, Allah menyatakan kepada Nabi Musa maksudnya sekira-kiranya berbunyi:
قالَ رَبِّ أَرِنِى أَنْظُرْ إلَيْكَ قاَلَ لَنْ تَرَـنِىْ
(musa berkata) Wahai Pelindungku (Allah) perlihatkanlah kepadaku (dirimu) agar aku dapat melihat kepadamu.
Berkata Allah (Wahai Musa) kamu tidak akan melihatku
Menurut ulama-ulama tafsir, perkataan selama-lamanya ini adalah untuk di dunia sahaja. Manakala di akhirat kita akan dapat melihat Allah swt jua di Syurga.
Dalam surah al-Qiyamah ayat 22 dan 23 Allah swt menyatakan:
وُجُوْهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِِرَةٌ( 22 ) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)
22. Muka-muka pada hari itu penuh ceria, (23) ( kerana ) Ia melihat kepada Tuhannya.
Oleh itu kalau kita tahu macamana sukarnya untuk menjaga diri daripada kemungkaran, menjaga solat fardhu dan solat malam, menjaga amalan-amalan sunat, kita tahu juga bagaimana sukar rasanya untuk masuk syurga, dan kita juga tahu dan merasakan bagaimana agungnya wajah Allah swt dan merasa rindu untuk melihat wajah Allah dan kita tahu bagaimana semua makhluk yang mana ianya mungkin termasuk semua para malaikat mengidamkan untuk melihat wajah Allah itu.
Dalam riwayat Isra’ Mi’raj kita sering mendengar bahawa, malaikat Jibril sendiri tidak dapat masuk merentasi Sidratul Muntaha.
Setelah kita tahu bahawa melihat Allah swt itu adalah sebuah kurnia yang paling tinggi di syurga. Dan kita tahu bahawa di dalam solatpun kita boleh merasakan seperti melihat wajah Allah swt itu atau sekurang-kurangnya merasa seperti menunggu di dalam syurga untuk melihat wajah Allah swt. Maka di situlah nanti suatu nikmat yang amat tinggi akan terasa betapa nyamannya solat itu. Kita akan tau betapa bahagianya solat. Kita akan mengetahui betapa solat itu amat dirindui oleh Nabi Muhammad saw.
Rabi’ah al-Adawiyah pernah menyatakan suatu kenyataan yang agak mengejutkan dan mungkin membuat orang bingung atau tertanya kenapa ia berkata seperti itu:
Katanya : Beribadat kepada Allah swt itu lebih aku sukai daripada duduk di bawah pohon syurga.
Namun apalah ertinya pohon syurga bagi Rabi’ah Adawiyah apabila ia sudah merasa melihat Allah swt lebih dari 5 kali sehari semalam setiap hari. Kerana semua rasa dan keindahan itu hanyalah bergantung kepada hati. Hati akan merasa sedap dan nyaman dengan nyaman yang tidak terperi dengan hanya merasakan satu perasaan sahaja. Ianya bagaikan seperti mendengar kata-kata cinta daripada seorang yang amat dicintai dan dirindui.
Bahkan mungkin Rabi’ah al-Adawiyah merasakan kekal berjumpa dengan Allah pada setiap saat. Kerana hidup ini sebenarnya semuanya boleh dijadikan ibadat. Kita boleh menjadikan semua amalan dan kebiasaan kita menjadi ibadat kalau kita niatkan setiap pekerjaan dan amalan kita itu untuk mencapai keredhaan Allah swt. Dan dalam setiap amalan yang kita niatkan sebagai ibadah itu boleh pula kita rasakan seperti berada bersama Allah swt di dalam sebuah bilik di istana yang paling istimewa di syurga.
Oleh itu natijahnya nanti kita akan merasa hidup kita di dunia ini adalah jauh lebih baik dari berada di syurga. Kerana kita akan sentiasa bersama Allah swt pada setiap saat.
Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat (194)
Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.
Pohonkanlah sifat cinta dan rindu kepada Allah dan tanamkan usaha bersungguh-sungguh seperti menanam benih ditempat yang gersang dan panas. Maka Insya Allah swt kita akan khusuk dalam solat kita dan kita akan merasa nyaman lebih daripada rasa maka kek yang paling sedap didunia.
Kata Isteri penulis: Kalau begitu buku ini “ Seolah melihat Allah dalam Shalat, karya Abas Mansur Tamam , terbitan Aqwam, Indonesia, 2008” wajib dibaca.
Betul: Kata penulis.
Kata Isteri penulis: Adakah ada tempat di akhirat itu nanti kawasan atau masa tidak berjumpa dengan Allah.
Kata Penulis: Masa berjumpa dengan Allah itu ialah kurnia tertinggi di syurga. Ia mungkin diberikan dalam setiap minggu atau setiap bulan atau setiap hari. Namun jika diberikan setiap masa. Mana mungkin kenikmatan-kenikmatan yang lain dapat dikecapi.
Au kama qultu wa Qalat.
Iktibar dari kisah Nabi Ibrahim Bersama Malaikat Izrael
Mungkin inilah yang banyak dirasakan oleh ahli-ahli hikmah yang tinggi seperti Rabi'ah al-Adawiyah. Bahawa mungkin dunia lebih baik dari akhira kerana di dalamnya mereka sentiasa bersama Allah swt.
Mungkin ini jugala yang dirasakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Musa apabila mereka berjumpa dengan Malaikat Izrael malaikat pencabut nyawa.
Tatkala Malaikat Izrael mahu mecabut nyawa Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata kepada Malaaikat Izrael:
Aku ini adalah Khalil Allah ( kekasih Allah) adakah seorang kekasih itu mahu mencabut nyawa kekasihnya.
Malaikat Izrael memohon bantuan semula kepada Allah swt. Dan Allah memesan kepada Malaikat Izrael untuk dikatakan kepada Nabi Ibrahim seperti ini:
"Tidakkah seorang kekasih mahu berjumpa dengan kekasihnya"
Pada pendapat penulis, lafaz yang lebih cantik mungkin berbunyi seperti ini:
"Tidakkah seorang kekasih itu mahu melihat wajah kekasihnya"
Lalu Nabi Ibrahim yang amat merindui untuk melihat wajah Allah swt, kerana sentiasa merasa bersama Allah swt tetapi belum dapat melihat wajah yang teragung Allah swt itu. mungkin sahaja terus keluar air mata kerana bahagia. Lalu Nabi Ibrahim pun berkata kepada Malaikat
" Marilah sekarang kamu cabut nyawa saya"
Pokoknya Nabi Ibrahim tidak mahu dicabut nyawanya hanya kerana rindu kepada Syurga . Kerana baginda merasakan bahawa Di dunia ini Baginda akan mendapat nikmat yang terbaik di syurga pada setiap masa. Iaitu dengan ikhlas dan mengejar ibadat dengandan Beribadat kepada Allah setiap masa, maka ia akan merasakan sepertOleh itu ia tidak mahu wafat sehingga lah jika baginda dijanjikan oleh Allah swt untuk mendapat ganjaran yang tertinggi di syurga iaitu melihat wajah Allah secara nyata. Maka barulah ia mahu meningggalkan dunia. Allahu 'a'lam.
Firman Allah swt dalam surah aal Imran ayat 190 hingga 200:
(190) إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ َلآيَاتٍ ِلأُولِي الأَلْبَابِ
(191) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(192) رَبَّنَا إِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
(193) رَبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ ءَامِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
(194) رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدْتَنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
(195) فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
(196) لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ
(197) مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ
(198) لَكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا نُزُلًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ لِلْأَبْرَارِ
(199) وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَمَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِمْ خَاشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ .
(200) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Makna dan Maksud ayat-ayat :
190-Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
191-(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
192-Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;
193-Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;
194-Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
195-Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.
196-Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).
197-(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
198-Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).
199-Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
200-Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Sesungguhnya penglihatan dan perasaan seseorang yang beriman pada dunia itu berlainan mengikut ilmu pengetahuan dan taraf iman masing-masing di sisi Allah swt. Semoga Iman dan Ketaqwaan kita semakin bertambah dengan bertambahnya ilmu kita. Amin.
Semoga ada baiknya. Yang baik adalah dari Allah dan yang tersilap dan tersalah adalah dari penulis jua. Oleh itu dengan rendah hati, penulis memohon ampun dan maaf pada kesilapan yang tidak disenghajakan.
Allahu A’lam Bissawab.Wassalam.

















0 comments:
Post a Comment